Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, tiada
rundingan awam dalam membentangkan RUU baru seperti diumumkan menteri
baru-baru ini.
Suhakam bimbang 3 RUU – Anti Diskriminasi, Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian serta Kebencian Agama dan Kaum – seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa yang akan dibentangkan Oktober ini, tidak melalui sebarang rundingan dengan orang ramai.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata kerajaan PH tidak menunjukkan sebarang langkah untuk menginstitusikan rangka kerja bagi penglibatan awam dalam menggubal undang-undang, walaupun mereka sudah menyuarakan komitmen terhadap keterbukaan dan ketelusan dalam tadbir urus berkesan.
Katanya, walaupun 3 undang-undang yang dicadangkan itu ialah pendekatan betul untuk menangani sentimen ekstremis, hanya ada sedikit maklumat mengenai kandungannya.
“Tidak diketahui sama ada undang-undang yang dicadangkan itu akan termasuk langkah aktif untuk menghapuskan punca diskriminasi di Malaysia, seperti diskriminasi kaum dalam sektor pendidikan.”
Razali mengingatkan PH terhadap janjinya untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia di Malaysia dengan berkata, sebarang undang-undang yang dibentangkan tidak hanya mengambil kira maklum balas orang awam, tetapi turut mencerminkan “ciri-ciri negara yang akan membentuk rakyatnya dan pendirian mereka”.
“Suhakam berharap kerajaan baru tidak akan meneruskan amalan negatif lama yang mengabaikan keperluan bagi pihak berkepentingan dan rundingan awam dalam demokrasi, serta terburu-buru meluluskan undang-undang di Parlimen.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan