Khamis, 4 April 2019

Dua individu hilang: Seksyen 14 D benarkan khabar angin jadi bukti – Suhakam

Nizam Zain
Datuk Mah Weng Kwai
Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai bercakap pada sidang media mengenai kehilangan Pastor Raymond dan Amri Che Mat di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menegaskan, segala bukti kes kehilangan dua individu membabitkan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat terkandung dalam laporan hasil inkuiri awam badan itu sejak Oktober 2017.

Pesuruhjayanya, Datuk Mah Weng Kwai berkata, berdasarkan Seksyen 14 (D) Akta Suhakam 1999, membolehkan badan itu menggunakan khabar angin sebagai bukti dalam pendengaran awam itu.

“Saya tidak tahu Perdana Menteri membaca dua laporan kami apabila beliau membuat kenyataan. Saya akan katakan kepada sesiapa sahaja yang akan menyalahgunakannya, sila bacanya dan buat analisis.

“Kami cuba menyatakan bahawa semuanya (bukti) telah dinyatakan dengan kemungkinan berdasarkan bukti yang telah kami terima dan dibawa kepada kami yang digunakan sebelum siasatan.

“Saya fikir perlu ada penekanan kepada perkara ini, dan kami telah melakukan penemuan fakta yang mencukupi dan mencukupi untuk badan bertindak menyiasat semula kes itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suhakam, di Menara TH, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang meminta Suhakam mengemukakan bukti selepas membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa membabitkan pastor Raymond dan Amri.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil inkuiri awam itu mempunyai bukti cukup dan bukan sekadar khabar angin semata-mata.

Weng Kwai juga berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk menyerahkan laporan penuh hasil inkuiri kes kehilangan dua individu itu kepada kerajaan dan pihak berkuasa dalam masa terdekat.

“Setiap kali kita mempunyai inkuiri dalaman, jelas (bagaikan) tidak berguna kepada kita, jika ia hanya duduk di meja kita, ia perlu sampai kepada pihak berkuasa.

“Pastinya salinan akan diberikan kepada pejabat perdana menteri secara rasminya, ia perlu pergi ke pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan agensi berkaitan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: