Isnin, 10 Disember 2018

Suhakam kerja untuk rakyat Malaysia atau Barat?: Isma

Oleh Athirah Huda Zalhe

Kerajaan patut bubar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia jika cadangan bercanggah dengan Perlembagaan dan keputusan pemerintah



BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula peranan dan objektif sebenar penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Presiden Isma, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan juga patut membubarkan Suhakam, jika cadangan suruhanjaya itu bercanggah dengan Perlembagaan dan keputusan pemerintah.

Beliau berkata, pendirian Suhakam untuk terus menekan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), menyerlahkan kesombongan dan keangkuhan suruhanjaya itu.

“Kesombongan ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak boleh menerima suara rakyat, tetapi lebih kepada bertopengkan Barat.

“Pemikiran yang celaru seperti ini tidak sesuai untuk diletakkan di posisi yang menentukan polisi negara,” katanya yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail semalam, bahawa suruhanjaya itu akan terus menasihat kerajaan supaya meratifikasi ICERD, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan tidak menerima konvensyen itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, suruhanjaya itu hanya melihat kebaikan dari sudut pandangan Barat, tanpa mengambil kira pandangan majoriti umat Islam di negara ini.

“Walaupun Himpunan 812 Sabtu lalu dihadiri ratusan ribu, malah ada yang menganggarkan mencecah sejuta peserta, ia masih tidak diperduli oleh Suhakam.

“Jadi rakyat bertanya, adakah Suhakam ini bekerja untuk rakyat Malaysia atau untuk Barat? Mereka sepatutnya mengambil kira akan manfaat dan untung rugi kepada negara serta rakyat keseluruhannya, bukan semata-mata mengikut telunjuk Barat,” katanya.

Tiada ulasan: