Isnin, 2 Julai 2018

Suhakam minta polis siasat ‘data lokasi’ isteri Amri, pegawai SB

 
Data lokasi itu bagi mengesahkan kebenaran cerita Norhayati Ariffin dan Sarjan Shamzaini Daud. 





KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta polis menyiasat data lokasi Norhayati Ariffin, isteri kepada aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pegawai Cawangan Khas (SB), Sarjan Shamzaini Mohd Daud pada 12 Mei lalu, bagi menentukan kebenaran cerita mereka.

Pengerusi panel siasatan awam itu, Datuk Mah Weng Kwai, berkata demikian kepada pegawai penyiasat kes kehilangan aktivis Perlis itu, Inspektor Khor Yi Shuen ketika sesi inkuiri hari ini.

Pada 30 Mei lalu, ketika memberi keterangan, Norhayati berkata suaminya diambil sekumpulan pihak polis dari Bukit Aman.

Norhayati mendedahkan ada seorang sarjan bernama Shamzaini, bertemu dengannya pada jam 10.30 malam, 12 Mei lalu.
Katanya, Shamzaini memberitahu Amri diambil secara kasar dan dipukul, manakala cermin keretanya dipecahkan.

Bagaimanapun pada 31 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusami memberitahu pada sesi inkuiri ini bahawa Shamzaini telah membuat laporan polis dengan mendakwa keterangan Norhayati sebagai tidak benar.

Munusami berkata, anggota polis itu sebaliknya menyatakan menemui isteri Amri pada malam itu untuk menyewa kedai milik keluarga suami wanita itu.

“Kamu (Khor) perlu memeriksa lokasi data. Perlu mengetahui mereka guna perkhidmatan mana melalui telefon yang digunakan Norhayati dan Sarjan Samzaini untuk mengesan di mana lokasi mereka pada 12 Mei lalu pada 10.30 malam,” kata Mah semasa sesi inkuiri kes kehilangam Amri di Ibu Pejabat Suhakam.

Siasat data lokasi Saiful Bahari

Mah juga meminta Khor untuk mengesan data lokasi pemilik Vios, Saiful Bahari yang sebelum ini dilihat meletakkan keretanya berdekatan rumah Amri.

Semasa sesi inkuiri Suhakam, Khor berkata hasil siasatan dan pemeriksaannya mendapati kereta Vios itu milik Saiful yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Khor juga memaklumkan ada bertemu penyelia Saiful, iaitu Azizi yang pernah pernah melihat kereta itu di tempat letak kereta di Pulapol seminggu sebelum Amri hilang pada 24 November 2016.

Bagaimanapun, Khor tidak dapat memastikan sama ada dalam tempoh seminggu itu, Saiful ada menggunakan kereta itu atau tidak kerana mempunyai kenderaan lain, iaitu motosikal.

Khor juga berkata ketika disoal siasat, Saiful menafikan pergi ke Perlis pada hari Amri hilang.

Pada 21 Mac lalu, saksi ke-2, Vee Yak Ban Jong yang juga pemilik bengkel kereta mendakwa ternampak 3 kenderaan bergilir diletakkan di depan kedainya, 3 hari sebelum Amri hilang.

Bengkelnya terletak kira-kira 150m dari rumah Amri.

Beliau berkata, selama 3 hari berturut-turut sebelum Amri hilang, sebuah kereta Vios warna emas berada di depan kedainya antara jam 9 pagi hingga 12 malam.

Tiada ulasan: