Ahad, 5 Ogos 2018

SPR tak puas hati peratus keluar mengundi rendah

 
   

PRK SG KANDIS | Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini, secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata secara peribadi beliau sendiri tidak berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi rendah itu kerana sasaran pihaknya sebelum ini 80 peratus.

“Proses pengundian berjalan lancar cuma saya kurang berpuas hati sebab peratusan keluar mengundi rendah,” katanya sewaktu ditemui media di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di Shah ALam.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi paling rendah dicatat ialah ketika PRK DUN Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei 2009 sebanyak 46 peratus.

Sementara itu, sumber SPR Selangor memberitahu Bernama antara faktor lain peratusan rendah itu disebabkan pengundi tidak balik mengundi atau berada di luar kawasan.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.- Bernama


Tiada ulasan: