Khamis, 2 Ogos 2018

Mohamad Hassan ucap terima kasih pada PAS

MALAYSIAKINI

   
PRK SG KANDIS |  Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan menzahirkan ucapan terima kasih kepada PAS atas persefahaman, khususnya apabila parti itu tidak meletakkan calon dalam persaingan BN menghadapi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil kali ini, lapor media tempatan.

"Saya selaku timbalan presiden Umno dan pengarah jentera PRK BN di Sungai Kandis secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana telah memberikan suatu persefahaman dengan tidak meletakkan calon parti itu di Sungai Kandis.

"Bukan setakat tidak meletakkan calon, para pemimpin PAS sudah turun padang dan berkempen kepada pengikut-pengikut parti itu supaya tidak menyokong HARAPAN dalam PRK ini," kata Mohamad Hassan dipetik wawancara Utusan Malaysia hari ini.

Beliau juga berharap titik persamaan dua parti itu dalam PRK Sungai Kandis akan dapat disambung untuk menjalin kerjasama.

"Jadi, saya amat berharap supaya titik persamaan yang diterjemahkan semasa PRK Sungai Kandis dapat disambung dan diperkasakan untuk jalinan kerjasama antara dua parti Melayu terbesar di negara ini," katanya.

HARAPAN kalah tak jadi 'kudis'

Menurut bekas menteri besar Negeri Sembilan lagi jika HARAPAN kalah dalam PRK kali ini ia tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan pentadbiran pakatan itu di Selangor dan meskipun PKR menang besar dalam PRU14 lalu, Umno tetap berharap pengundi dapat buat pilihan rasional.

"Padahal kalau kalah pun tidak akan jadi 'kudis' pada Pakatan Harapan.

"Tak apa, kita 'langgar'. Kalah belum tentu, menang belum tahu. Saki-baki kempen dua hari ini diharap dapat meyakinkan orang ramai kepada BN," jelasnya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu secara rasminya menyeru penyokongnya keluar mengundi pada pilihan raya kecil Sungai Kandis 4 Ogos ini, tetapi menegaskan parti itu tidak akan menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN)dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya pemimpin PAS yang menghadiri program di kawasan Sungai Kandis tidak bercanggah dengan pendirian parti.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dipetik berkata tiada arahan daripada parti itu kepada ahli dan penyokongnya yang akan mengundi pada pilihan raya kecil Sabtu ini.


Tiada ulasan: