Rabu, 1 Ogos 2018

'Pemimpin PAS sokong calon BN tak langgar dasar parti'

MALAYSIAKINI

   

PRK SG KANDIS | Sokongan terbuka pemimpin PAS kepada calon BN dalam PRK Sungai Kandis tidak menyalahi dasar parti itu, kata Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin.

Menurut laporan Harakahdaily hari ini, Hashim berkata PAS membenarkan pemimpin dan anggotanya untuk berpihak kepada pihak yang kurang membawa mudarat antara pilihan yang ada.

"Sebagai salah seorang ahli majlis syura, apa saja keputusan yang PAS buat setakat ini belum lagi terkeluar atau menyanggahi dasar parti.

"Oleh itu andainya ada pemimpin PAS yang secara terbuka memberi sokongan kepada calon dari BN, ia tidak terkeluar daripada dasar PAS kerana kita dibenarkan untuk memihak kepada yang lebih ringan bahayanya dari keduanya (BN dan PKR)," katanya seperti dipetik.

Beliau mengulas sokongan yang ditunjukkan beberapa pemimpin PAS - antaranya anggota majlis syura Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, anggota jawatankuasa pusat Mokhtar Senik dan ketua penerangan Nasrudin Hassan - kepada calon BN Datuk Lokman Noor Adam.



Mereka menggesa penyokong PAS di Sungai Kandis mengundi Lokman bagi memastikan kekalahan Pakatan Harapan (HARAPAN) di PRK yang akan berlangsung pada 4 Ogos ini.

Susulan itu, Pemuda PAS Kota Raja - DUN Sungai Kandis sebahagian daripada Parlimen Kota Raja - mempersoalkan sokongan itu termasuk penganjuran program khas pada 28 Julai lalu oleh parti itu untuk menggesa anggota parti agar mengundi Lokman.

Timbalan Ketuanya Mohd Najib Arshad berkata gesaan seperti itu bersifat dasar maka perlu mendapat persetujuan muktamar terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Hashim berkata anggota PAS dapat membuat pilihan bijak antara BN dan HARAPAN dalam PRK itu tanpa arahan khusus daripada pimpinan parti.

Wakil parti yang membawa keburukan kepada rakyat dan politik negara perlu ditolak dalam PRK itu, kata Hashim lagi menurut laporan itu.


Tiada ulasan: