Selasa, 31 Julai 2018

PH terdesak adakan PRK Sungai Kandis tergesa-gesa

Manzaidi Mohd Amin

Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2018
Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 
 

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dilihat sebagai pilihan raya tergesa-gesa oleh Pakatan Harapan (PH) yang sengaja diadakan awal bagi menutup kegagalan kerajaan itu menunaikan 10 janji kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, kerajaan PH boleh saja mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menetapkan tarikh lebih sesuai dan tidak terlalu dekat dengan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang baru berakhir 9 Mei lalu.

“Mereka terpaksa adakan PRK lebih awal supaya rakyat tidak ada sebab untuk menyalahkan kerajaan PH gagal menunaikan 10 perkara dalam tempoh 100 hari kerana edah itu belum habis.

“Tapi kalau rakyat berfikiran rasional, hari ini hari ke 84, sekurang-kurangnya mereka sudah menunaikan lapan daripada 10 janji mereka,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, dekat sini, hari ini.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, sehingga hari ini, hanya satu sahaja janji yang mereka tunaikan, iaitu menghapuskan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada kosong.

Sembilan janji lagi, katanya, masih di awangan dan ada antaranya terpaksa u-turn semula kerana mendapati janji itu jika dilaksanakan boleh memberi kesan teruk kepada ekonomi negara.

“Apabila tidak dapat menunaikan janji itu, mereka akan beritahu rakyat, jika dilakukan juga, akan memberi kesan paling buruk kepada kerajaan.

“Inilah pembohongan nyata kerajaan PH ketika kempen PRU14 yang lalu, yang menyaksikan mereka menang banyak negeri dan menawan pusat pentadbiran Putrajaya,” katanya.

Ditanya akan kedatangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sungai Kandis untuk membantu kempen calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni malam ini, Lokman berkata, itu membuktikan PKR tidak yakin akan menang apabila pemimpin utamanya terpaksa turun.

Beliau bagaimanapun, penuh yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan berceramah pada malam 3 Ogos ini, tidak akan hadir.

“Saya percaya beliau tidak akan hadir dan tidak akan membantu calon PKR kerana beliau sendiri mahu PKR kalah pada pilihan raya kecil ini,” katanya.

Mengenai dakwaan Mohd Zawawi kononnya beliau mendapat 100 peratus sokongan masyarakat India dalam DUN itu, katanya, tunggu dan lihat keputusan pada malam 4 Ogos ini.

“Kalau saya mendapat dua atau tiga undi kaum India, maknanya Mohd Zawawi telah berbohong,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: