Selasa, 31 Julai 2018

Kehadiran Anwar bukan kerana sokongan PAS terhadap BN

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM= Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis minggu ini, bukan disebabkan PKR ‘tergugat’ dengan sokongan PAS terhadap calon BN.

Kehadiran Ketua Umum PKR itu sebenarnya telah dirancang dan dijadualkan di peringkat awal lagi, kata calon PKR bagi PRK itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam proses pemulihan rawatan di Turki dan masa yang beliau ada hanya selepas 31 Julai ke atas, sebab itu kita tetapkan tarikh tersebut (selepas 31 Julai) sesuai dengan keberadaan beliau di Malaysia.

“Kita telah jadualkan di peringkat awal tentang kehadiran beliau… jadi kita melihat tarikh beliau balik sempat untuk bersama kempen, bukan tiba-tiba di saat akhir memerlukan kehadiran beliau untuk membantu kempen,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Yaakob Sapari di sini, hari ini.

Anwar dijadualkan hadir membantu kempen PRK bermula Rabu ini dan dijangka menyertai ceramah ‘grand finale’ pada malam terakhir kempen, Jumaat ini bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan lain Pakatan Harapan (PH) – gabungan PKR, BERSATU, DAP dan AMANAH.

Menurut Mohd Zawawi, berdasarkan maklum balas daripada pengundi beliau yakin pengundi akan terus kekal bersama PH meskipun sasaran majoriti undi dijangka berkurangan daripada yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas beberapa faktor.

“Kalau pada PRU lepas kita dapat majoriti 12,480 undi, pada PRK ini kalaupun kita tidak dapat jumlah itu kita target untuk dapat sekurang-kurangnya 10,000 undi daripada pengundi atas pagar, pengundi PAS, UMNO yang mungkin melihat saya calon yang mereka harus pilih.

“Kita jangkakan PRK ini peratusan mengundi rendah kerana mereka baru sahaja mengundi pada PRU lepas. Ada yang kerja luar kawasan dan ada mempunyai masalah kos pengangkutan yang di luar bidang kuasa kami, jadi kami sedia maklum mengenai kekangan PRK ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP ketika ini untuk membantu kempennya, Mohd Zawawi berkata Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadualkan turun padang ke DUN Sungai Kandis pada Khamis ini sementara pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang pula pada Jumaat.

Ketika ditanya sama ada pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis boleh menerima DAP, beliau berkata perkembangan terkini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah semakin terbuka terhadap parti itu.

“Cuma UMNO sahaja yang memburukkan dan (sebar) propaganda DAP sebagai parti rasis, anti Melayu dan sebagainya,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama selepas PRU14, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada hari pengundian Sabtu ini, Mohd Zawawi bakal ditentang calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.– Bernama

Tiada ulasan: