Jumaat, 3 Ogos 2018

PRK Sg Kandis: 51,217 pengundi keluar mengundi esok

 
Sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.


SPR memanjangkan tempoh masa pengundian dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, berbanding 5 petang sebelum ini. (Gambar Bernama)


SHAH ALAM: Seramai 51,217 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab memilih pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi hujan dengan suhu antara 26 dan 29 darjah celsius, manakala petang diramalkan cerah dengan suhu antara 30 dan 32 darjah celsius.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan beberapa penambahbaikan dalam PRK kali ini termasuk mewujudkan dua saluran untuk pengundi yang berumur 60 tahun ke atas, dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai.

Sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

SPR turut menambah satu lagi petak mengundi menjadikan keseluruhan 3 petak di kesemua 109 saluran mengundi, iaitu 3 orang boleh mengundi pada satu-satu masa.

Selain itu, SPR memanjangkan tempoh masa pengundian dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, dijangka mengundi pada 9 pagi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di sini.

Sementara calon BN iaitu Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon Bebas, K. Murthy, 60, bukan merupakan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Kesemua peti undi kemudian akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam.

SPR menyasarkan 80% pemilih keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.4 juta.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 dan 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada 51,230 pemilih berdaftar itu, 24,998 adalah pengundi lelaki (48.8%) dan 26,232 merupakan pengundi wanita (51.2%).

Dari segi komposisi kaum pula, 71.34% pengundi berdaftar di DUN itu terdiri daripada kaum Melayu, 15.69% kaum India dan 11.75% kaum Cina.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas ilihan raya umum ke-14 berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada pilhan raya umum 9 Mei, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tiada ulasan: