Ahad, 23 Ogos 2020

Anggota APM cedera dilibas biawak

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
Anggota APM menangkap seekor biawak di Ijok, Selangor, 
semalam.

KUALA SELANGOR: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) cedera akibat dilibas seekor biawak di sebuah aksesori kenderaan di Ijok di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, biawak betina seberat 30 kilogram (kg) itu bertindak agresif melibas anggota APM yang cuba menangkapnya.

Bagaimanapun, anggota lelaki berusia 23 tahun yang dilibas di kaki kanannya itu tidak mengalami kecederaan serius.

Pegawai Pasukan APM Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, dia bersama tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pemilik premis pada pukul 7.30 malam.

“Setibanya di kedai aksesori, kami mendapati biawak sepanjang dua meter berada di bahagian stor premis tersebut.

“Ketika cuba menangkapnya dengan alat penjerut, reptilia ini bertindak agresif dan melibas kaki anggota lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 Tambah Suzaini, bagaimanapun pihaknya berjaya menangkap biawak itu dalam masa 10 minit. 

“Biawak spesis tikus itu kemudian dibuang ke kawasan hutan berdekatan,” katanya.

Tiada ulasan: