Ahad, 16 Ogos 2020

Bayi 10 bulan maut akibat pendarahan di kepala selepas 4 hari rawatan

Polis berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi perempuan 
itu ialah pendarahan di kepala kesan jatuh dari tempat tinggi.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia kelmarin akibat pendarahan di kepala selepas 4 hari dirawat di hospital swasta kerana tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh di Bandar Puchong Jaya, Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan berkata mangsa dikejarkan ke hospital selepas ibu bapanya dihubungi pengasuh berusia 40 tahun memaklumkan bayi mereka tidak sedarkan diri kira-kira 12 tengah hari Selasa lalu.

Katanya, pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan mengesyaki terdapat unsur penderaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa disahkan kematian otak dan bergantung pada mesin bantuan pernafasan saja sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.19 petang kelmarin,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang pada 1.40 tengah hari Sabtu mendapati punca kematian ialah pendarahan di kepala kesan jatuh dari tempat tinggi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh 2 kali, iaitu di rumahnya sendiri dan rumah pengasuh, namun tiada unsur penderaan berlaku.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Tiada ulasan: