Selasa, 1 September 2020

Dua rumah musnah terbakar

Zuliaty Zulkiffli
 
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.

DUA rumah di Kampung Seberang Nyonya, di Alor Setar musnah dalam kebakaran, hari ini.

Selain itu, satu rumah lagi terbakar 10 peratus selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dalam kejadian jam 1.20 pagi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran membabitkan tiga rumah itu pada jam 1.29 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abdul Hadi Abdul Rahman tiba di lokasi jam 1.37 pagi.

"Operasi disertai 10 anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta satu motosikal RIM.

"Selain itu, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya, Taman Mutiara, Kuala Kedah dan Pengkalan Kundor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, dua rumah terbakar itu masing-masing musnah 80 dan 90 peratus.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Anggota kami berjaya mengawal api dari merebak kira-kira 30 minit sebaik anggota tiba di lokasi.

"Bagaimanapun api berjaya dipadam sepenuhnya tidak lama kemudian. Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya

Tiada ulasan: