Ahad, 23 Ogos 2020

KSM laksana penempatan semula pekerja yang diberhentikan akibat Covid-19

Shawaliah Hadir
MGF21072020_PERJUMPAAN-TERTUTUP-MENTERI-SUMBER-MANUSIA-BERSAMA-TOP-GLOVE-DAN-MALAYSIAN-RUBBER-GLOVE_10-681x454
Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan. foto AFIQ RAZALI,

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi penempatan semula (redeployment) akan membantu para majikan khususnya yang ingin menggajikan pekerja tempatan.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif dilakukan KSM sebagai usaha mengurangkan jumlah kes kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja tempatan akibat penularan Covid-19.

Jelas beliau, penempatan semula itu akan dilaksanakan melalui agensi-agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Data yang dikumpul oleh KSM menunjukkan bahawa ramai pekerja tempatan dan pekerja asing yang masih mempunyai permit kerja yang sah untuk tempoh panjang telah diberhentikan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pelaksanaan penempatan semula ini juga, menurut beliau, terpakai untuk pekerja asing namun majikan digesa memberi keutamaan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu untuk mengisi kekosongan di premis mereka.

Sekiranya tiada sambutan daripada warga tempatan, maka majikan diberikan kelonggaran untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama, katanya.

“Ini kerana pihak kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penempatan semula pekerja dengan cara penggantian majikan bagi pekerja asing dalam sektor yang sama dan kini juga boleh untuk sektor yang lain (cross sector) tetapi ianya bergantung kepada keadaan (case basis).

“Bagi majikan yang memerlukan pekerja asing dan setelah tiada pengisian kekosongan oleh pekerja tempatan di premis mereka maka boleh diisi kekosongan tersebut oleh pekerja asing sah yang telah kehilangan pekerjaan mereka,” tambahnya.

Borang permohonan untuk penggantian majikan bagi pekerja asing boleh dimuat turun daripada laman sesawang JTKSM iaitu jtksm.mohr.gov.my dan borang tersebut perlu dihantar sama ada secara serahan tangan ke Ibu Pejabat di Putrajaya atau serahan secara pos atau boleh juga melalui e-mel di alamat ptm@mohr.gov.my. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: