Khamis, 6 Ogos 2020

Kini lebih banyak peluang untuk rakyat jadi pengawal keselamatan, kata persatuan

Presiden Stadam, Khirudin Tajudin, mahu melihat lebih ramai orang tempatan
bekerja sebagai pengawal keselamatan.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan untuk perkhidmatan keselamatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengehadkan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan, pertanian, dan perladangan.

Presiden Persatuan Pembangunan dan Latihan Keselamatan (Stadam) Khirudin Tajudin menyifatkan keputusan itu sebagai “berfokus dan masuk akal”, dengan mengatakan rakyat yang mencari kerja lebih cenderung mengelak daripada 3 sektor itu.

Beliau berkata pembekuan pengambilan pekerja asing untuk sektor lain akan mendorong majikan berusaha untuk mengambil orang tempatan bekerja.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ini akan menghasilkan transformasi dalam kebanyakan sektor.

“Dengan dasar ini, majikan perlu mematuhi undang-undang pekerjaan dan secara adil membayar pekerja mereka,” katanya kepada FMT.

Khirudin, yang mengetuai sebuah syarikat keselamatan, mahu melihat lebih ramai rakyat bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana ramai pekerja asing tidak fasih berbahasa Melayu.

Keputusan kerajaan diumumkan di Dewan Rakyat minggu lepas, namun, terus mendapat bantahan dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presiden Soh Thian Lai berkata “pengumuman tiba-tiba” itu akan melumpuhkan sektor pembuatan, termasuk pengeksport, yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada hasil ekonomi.

Beliau memberi amaran tentang gangguan rangkaian bekalan dan mendesak kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan itu.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, tiada jaminan orang tempatan mahu menggantikan pekerja asing dalam pelbagai industri.

“Jelas sekali, sektor yang ditolak pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang teruk dan ini akan menyebabkan gangguan besar terhadap operasi mereka,” katanya.

Tiada ulasan: