Isnin, 10 Ogos 2020

Kerajaan optimis ekonomi pulih menjelang 2021

 Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat pameran syarikat 
semi-konduktor elektrik dan elektronik Vitrox Campus 2.0 di Batu Kawan, 
Seberang Perai, Pulau Pinang di sini.

BUTTERWORTH: Kerajaan optimis pertumbuhan ekonomi negara mampu pulih secara berperingkat menjelang 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua bakal diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Ogos ini.

“Negara mencatat pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini, namun kita sedia maklum suku kedua memang mencabar kerana kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan aktiviti ekonomi hanya dibuka semula 4 Mei lalu.

“Walau bagaimanapun, kadar pengangguran yang menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus pada Jun lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu adalah salah satu petanda awal ekonomi semakin baik.

“Justeru, kita positif pemulihan ekonomi dapat dicapai pada tahun hadapan sekiranya momentum ini dapat dikekalkan pada suku ketiga dan suku keempat, bergantung kepada cara negara menangani Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat semi-konduktor elektrik dan elektronik Vitrox Campus 2.0 di Batu Kawan, Seberang Perai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, eksport negara juga merekodkan perkembangan 8.8 peratus pada bulan Jun kepada RM82.9 bilion.

“Lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion ini adalah nilai tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian juga meningkat 18.2 peratus pada bulan Mei manakala sektor pembuatan dan elektrik masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 25.9 dan 13.7 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklum balas dan cadangan daripada pelbagai industri sempena Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

“Dari situ, kita akan mengkaji setiap cadangan yang diberikan kepada pihak kementerian.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menggubal sebuah belanjawan yang akan mengutamakan kesejahteraan pelbagai pihak daripada rakyat sehinggalah sektor perniagaan, perkhidmatan, pembuatan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: