Ahad, 9 Ogos 2020

Cetak lebih banyak wang, bukan tambah pinjaman, pakar beritahu Putrajaya

 Robin Augustin

Pakar ekonomi mencadangkan kerajaan menambah bekalan wang, bukan 
menambah pinjaman kerana bekalan wang dikawal oleh Bank Negara 
Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi berkata, langkah kerajaan meningkatkan had hutang akan memberinya lebih banyak ruang untuk membuat pinjaman bagi program pemulihan ekonomi, tetapi percaya bahawa Putrajaya sepatutnya mengambil pendekatan lain.

Bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kameel Mydin Meera percaya kerajaan sebaliknya harus mengambil pendekatan pelonggaran kuantitatif.

Pelonggaran kuantitatif (QE) membolehkan kerajaan menambah bekalan wang dalam ekonomi tanpa membuat pinjaman.

Ia melibatkan pencetakan atau penciptaan ringgit baru dengan tujuan meningkatkan perbelanjaan dalam ekonomi dan dengan itu merangsang ekonomi.  

 

Kameel Mydin Meera

Bercakap kepada FMT, Kameel berkata, kerajaan perlu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang besar, iaitu sekitar RM150 bilion untuk “menghidupkan semula” ekonomi yang terkesan oleh penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walaupun penambahan nisah hutang-KDNK membolehkan kerajaan meminjam lebih banyak wang, namun menurut Kameel, kerajaan tidak perlu berbuat demikian.

Awal minggu ini, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat yang membolehkan kadar hutang negara ditambah sementara dari 55% ke 60%.

Di bawah undang-undang sedia ada kerajaan tidak dibenarkan menambah jumlah hutang melebihi nisbah 55% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya fikir kerajaan harus menggunakan kuasanya untuk “mencipta ringgit”, iaitu pelonggaran kuantitatif,” kata Kameel.

Katanya, pelonggaran kuantitatif tidak akan menyebabkan inflasi seperti dalam keadaan biasa kerana wujud jurang kecairan yang besar di pasaran susulan perintah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19.

Kameel berkata, Malaysia tidak perlu mengikut negara lain yang mempunyai nisbah hutang-KDNK yang lebih tinggi.

“Hutang mesti dibayar, iaitu jumlah prinsipalnya berserta faedah, yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.”

Kameel berkata, dengan mengambil kesempatan atas peningkatan had hutang, kerajaan tidak seharusnya menyalurkan dana untuk membayar program subsidi upah, tetapi perlu memberi fokus kepada usaha merangsang penggunaan domestik dan membantu golongan yang paling memerlukan, termasuk kelompok B40 dan tidak bekerja.

Lee Heng Guie

Seorang lagi pakar, Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi berkata, kerajaan terpaksa menambah nisbah hutang-KDNK kerana jumlah hutangnya kini ialah RM823.8 bilion, yang dianggarkan telah melepasi paras 55% KDNK.

“Dari perspektif sejarah, nisbah hutang-KDNK itu tidak perlu terlalu dibimbangkan pada masa ini kerana kita pernah berdepan nisbah lebih tinggi antara 60.1% dan 93.1% pada 1982 hingga 1991.

“Nibah hutang-KDNK 60% lazimnya dilihat sebagai had yang munasabah, dengan maksud pelanggaranya akan mengancam kemampanan fiskal.”

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna ia adalah paras yang optimum kerana perlu dipertimbangkan juga haluan pertumbuhan dan hasil pada masa depan, selain kemampuan negara menbayar hutang.

Penambahan hutang bermakna kerajaan perlu membelanjakan lebih banyak daripada perbelanjaan mengurusnya untuk membayar hutang.

“Apabila ekonomi pulih, kita perlu mengawal hutang yang bertambah itu sama ada dengan meningkatkan cukai atau mengurangkan perbelanjaan, termasuk merasionalkan pertumbuhan eksponen perbelanjaan mengurus yang berpunca daripada emolumen, pencen, perbekalan dan perkhidmatan,” katanya.

Tiada ulasan: