Ahad, 23 Januari 2022

Pekerja kilang sarung tangan mogok, dakwa rakan sekerja ‘dipukul pengawal’

Pengawal keselamatan di kilang sarung tangan itu didakwa memukul seorang 
pekerja wanita warga Indonesia dan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh.

PETALING JAYA: Pekerja sebuah kilang sarung tangan di Sepang melancarkan mogok hari ini selepas dua rakan sekerja mereka didakwa dipukul oleh pengawal keselamatan yang digaji oleh majikan mereka.

Menurut Penyelidik Bebas Bishal Tamang, dua pekerja kilang itu dipukul di luar kuarters pekerja.

Katanya, mogok itu dilancarkan susulan pihak pengurusan kilang dilihat lembab bertindak dalam menangani isu tersebut.

Kejadian pertama berlaku tiga hari lalu membabitkan seorang pekerja wanita warga Indonesia, manakala kejadian kedua semalam membabitkan pekerja lelaki warga Bangladesh.

“Pekerja menuntut supaya kontrak syarikat keselamatan baharu itu ditamatkan dan bekas pengawal keselamatan dibawa balik,” kata Tamang kepada FMT.

Kira-kira 2 petang hari ini, selepas mogok berlangsung selama tujuh jam, pihak pengurusan bersetuju mengeluarkan pengawal keselamatan dari pintu pagar asrama pekerja.

Bagaimanapun, syarikat keselamatan itu dikekalkan untuk tujuan keselamatan lain seperti menjaga pintu utama ke premis.

“Bagaimanapun, pekerja kini khuatir bahawa pengawal keselamatan akan bertindak balas terhadap mereka selepas apa yang berlaku hari ini,” kata Tamang.

FMT tidak mendedahkan nama syarikat dan telah menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan ulasan.

Tiada ulasan: