SUNGAI PETANI: Penduduk Kampung Bakar Kapur, Penghulu Him di sini, terkejut melihat air parit berdekatan rumah mereka bertukar menjadi hijau dipercayai akibat pembuangan sisa bahan kimia.
Pencemaran dikatakan berpunca daripada tindakan kontraktor projek pembinaan perumahan berhampiran membuang bahan kimia tertentu ke dalam air yang mengalir terus ke Sungai Muda.
Justeru, penduduk berasa kurang selesa selepas melihat ikan mati di parit berkenaan, selain terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan sejak Rabu lalu.
Ramizan Marzukir, 54, berkata kejadian air parit bertukar hijau itu disedari pelanggan kedai makannya yang menghidu bau kurang menyenangkan.
"Pelanggan terbabit terkejut melihat air parit berdekatan kedai saya berwarna hijau sebelum memaklumkan kejadian kepada saya dan saya terus menghubungi ketua kampung.
"Seorang penduduk cuba mencari puncanya sebelum menemui kira-kira 16 tong besar dipercayai mengandungi bahan kimia di tapak pembinaan sebuah rumah di Penghulu Him," katanya ketika ditemui, hari ini.
Ramizan bersama ketua kampung kemudian mengunjungi tapak pembinaan rumah terbabit dan menemui kontraktor yang menjalankan projek, namun dimaklumkan air hijau berkenaan adalah syampu yang diguna untuk mencuci rumah.
"Kami ragu-ragu dengan jawapan itu dan menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah untuk pemeriksaan lanjut.
"Kami bimbang jika ia mengandungi bahan kimia kerana ada penduduk mendakwa tidak tahan dengan bau yang mencucuk hidung selain ada ikan mati di parit berkenaan," katanya.
Jika masalah itu tidak diatasi, Ramizan berkata, ia boleh menyebabkan pencemaran hingga ke Sungai Muda yang menjadi antara punca rezeki nelayan tempatan mencari lokan, udang dan ketam.
Difahamkan, pegawai JAS negeri sudah mengambil sampel air parit berkenaan dan menyita lokasi pembinaan rumah terbabit buat sementara sehingga keputusan siasatan diperoleh.
Tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati sisa bahan kimia berkenaan sudah tidak kelihatan, namun ada kesan mendakan bahan berkenaan di parit berdekatan rumah penduduk.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui media sosialnya, turut berkongsi aduan yang dimuat naik penduduk berhubung kejadian air parit bertukar hijau berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu sudah dirujuk kepada Ketua Pengarah JAS untuk diambil tindakan segera dan keputusan siasatan mengenai kejadian itu akan dimaklumkan kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan