Sabtu, 29 Januari 2022

Tok Mat dilantik Pengarah, Hasni Ketua Penyelaras BN PRN Johor

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan GAMBAR: Abd Razak Aid

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.

Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pula dilantik Ketua Penyelaras.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang, semalam.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mesyuarat berkenaan telah berbincang mengenai perkembangan mutakhir dalam negara dan perencanaan bagi tahun 2022.

Kata beliau, mesyuarat juga turut membulatkan tekad seluruh pimpinan parti komponen untuk terus mempertahan dan mengemas kini kedudukan BN yang menjadi wadah politik negara selama ini.

“Mesyuarat turut membincangkan PRN Johor yang bakal diadakan, justeru Mohamad dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor manakala Hasni selaku Ketua Penyelaras.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN, 22 Januari lalu.

Sultan Ibrahim sebelum itu berkenan menerima menghadap Hasni selaku Menteri Besar pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Kerajaan Johor yang kini dipimpin BN sebelum ini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Tiada ulasan: