Isnin, 31 Januari 2022

Bersatu tikam belakang Umno masa PRN Sabah, kata Najib

 

(Sinar Harian) – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa UMNO berasa dikhianati selepas Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di 17 kerusi dan enam calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memecah undi Barisan Nasional (BN).

Katanya, perkara itu berlaku tidak sampai tiga minggu selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi surat jemputan pada akhir bulan Ogos 2020 bagi menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Ramai sudah lupa atau masih tidak sedar apa yang telah berlaku. Ada yang masih menggunakan alasan bahawa UMNO pernah bersetuju untuk mengajak Bersatu menyertai MN lalu kami memungkiri janji sebagai propaganda bahawa UMNO yang tidak jujur.

“Ya, surat jemputan kepada Bersatu pernah ditandatangani pada akhir bulan Ogos 2020 tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, PN meletakkan calon untuk melawan BN di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah.

“PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditandingi BN untuk memecah undi kita,” dakwanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas beberapa pihak tertentu menuduh UMNO tidak jujur sambil mendakwa parti itu memungkiri janji yang dibuat kepada Bersatu ketika ia menjemputnya menyertai MN.

Mengulas lanjut, Najib menambah, UMNO terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tertinggi untuk menang kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan akan diberi jawatan Ketua Menteri sekiranya gabungan itu menang.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, walaupun BN berjaya memperolehi jumlah kerusi DUN tertinggi tetapi Ketua Menteri Sabah pula dilantik daripada Bersatu.

“Jadi, adakah kamu masih mahu gunakan propaganda bahawa UMNO yang mungkir janji dan khianat MN serta Pas sebab tidak teruskan untuk mengajak Bersatu sertai MN setelah kita sedar kita telah dikhianati oleh puak yang tidak jujur?

“Sebab apa kita perlu bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang niat sebenar yang mula-mula disorok mereka adalah untuk tamatkan UMNO buat selama-lamanya dengan menggunakan pelbagai cara termasuk sogok ahli kita dan khianat kita?” soalnya

Tiada ulasan: