Khamis, 27 Januari 2022

4,744 kes baharu, gelombang Omicron telah bermula – KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 4,744 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini yang merupakan tertinggi sejak 10 Disember lalu.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan yang “gelombang Omicron telah bermula di negara kita.”

Menurut beliau, kesiapsiagaan adalah dengan liputan vaksinasi yang meluas beserta dengan pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam iaitu kepatuhan kepada SOP.

Selain itu, katanya, liputan ujian kendiri berkala diharapkan dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital.

“Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan dan keparahan jangkitan terutamanya kepada golongan rentan.

“Sistem kesihatan awam dan swasta sudah bersiap siaga. Sama-samalah kita mengatasi gelombang ini. Pastikan pemakaian pelitup muka. Amalkan TRIIS. Dapatkan dos Booster.

“Insya-Allah kita berusaha bersama dan bertawakkal kepada Allah SWT,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Untuk rekod, daripada 4,744 kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini, sebanyak 1,318 kes adalah di Selangor.

Kuala Lumpur pula mencatatkan 380 jangkitan baharu hari ini.

Mengenai jumlah kes hari ini, Noor Hisham memaklumkan 30 kes atau 0.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 4,714 kes atau 99.4 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, sebanyak 21 kluster baharu dilaporkan hari ini, menjadikan 259 kluster masih aktif.

“Sebanyak 3,646 kes sembuh dilaporkan dan kumulatif kes sembuh ialah 97.2 peratus,” jelas beliau.

Tiada ulasan: