PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Pergilah ke mana, bangsa majoriti jadi pasak jati diri dan identiti negara
SAYA cukup teruja apabila kerajaan Indonesia membuat keputusan menamakan ibu negaranya yang baharu menggantikan Jakarta, dengan nama yang begitu klasik, penuh jati diri dan berindentiti, Nusantara, itulah namanya.
Nama Nusantara menjadi pilihan Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang kemudian disetujui Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk diabadikan, sebagai ibu kota, menggantikan Jakarta.
Menteri PPN/Kepala Bappenas menjelaskan bahawa sebelum menyampaikan usulan nama-nama IKN ke Presiden, pihaknya sudah terlebih dahulu merujuk dan berbincang dengan pakar bahasa dan sejarah, agar nama Nusantara dapat menggambarkan Indonesia yang sebenar.
Lihat, mereka berbincang dengan ahli dalam bidang, pakar bahasa dan sejarah, sebelum membuat keputusan. Hebatkan orang Indonesia. Saya tabik mereka. Budaya merujuk pakar mesti dihidupkan jika mahu maju.
Adakah kita sebegitu sifatnya dalam memberikan nama kepada nama bandar baharu dan taman-taman?
Pernahkah kita bertanya kepada pakar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, serta pakar sejarah, seperti Persatuan Sejarah Malaysia? Tidak pernah bukan?
Belajarlah daripada Indonesia saudaraku.
Jika tidak, negara ini akan hilang jati diri dan identiti, menjadi caca marba. Tidak mustahil, sudah pun berlaku, menjadi lebih barat daripada daripada barat, atau terlebih Cina.
Cukuplah replika di Suria KLCC yang telah mengundang pelbagai kontroversi, sehingga Suria KLCC terpaksa mengubahnya kembali.
Menurut Menteri PPN itu lagi, nama Nusantara dipilih berasaskan kepada konseptual wilayah geografi sebuah negara yang mana wilayahnya terdiri daripada pulau-pulau yang disatukan oleh lautan.
Nusantara dipilih kerana terkandung di dalamnya sebuah pengakuan kemajmukan geografi yang berasaskan kemajmukan budaya dan etniks yang selama ini dianut oleh Indonesia.
Nusantara itu sebuah konsep kesatuan yang bersedia mengakomodasi kemajmukan itu dan ibu kita Indonesia dengan nama itu mengungkapkan realiti keindonesiaan bersama.
Antara nama-nama yang dicadangkan daripada lebih 80 nama yang disampaikan ke Presiden adalah Nusantara Jaya, Negara Jaya, Nusa Karya, Nusa Jaya, Pertiwi Pura, Warnapura, Cakrawala Pura, Kertanegara.
Nama-nama walaupun cadangan, penuh dengan nilai jati diri dan identiti. Agak-agaknya, kalau kita diminta mencadangkan nama-nama tersebut, sudah tentu nama-nama seperti sky, height, city, country, dan nama-nama orang putih lain yang pasti akan keluar.
Cuba baca nama-nama taman dan bangunan sekitar ibu kota, semuanya menjengkelkan. Kita sebenarnya sudah jauh tersesat di hujung jalan. Bila lagi mahu kembali ke pangkal jalan.
Nama Nusantara menjadi ibu kota Indonesia, kerana Jakarta, terkenal dengan kesesakan impak populasi penduduk yang sehingga 30 Jun, 2021 sudah mencecah 11.25 juta.
Terdahulu, pada 2019, Widodo mengumumkan bahawa ibu kota negara itu akan berpindah dari kota besar Jakarta ke kabupaten terpencil Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.
Langkah itu difikirkan perlu untuk menggantikan Jakarta yang menurut pakar alam sekitar dijangka tenggelam menjelang 2050, jika aktiviti pengambilan rizab air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan.
Apa yang kita boleh belajar di sini?
Meraikan kepelbagaian bukan bermakna mengorbankan jati diri, identiti dan maruah negara. Jati diri dan identiti tetap terpelihara, tanpa kompromi
Mungkin ada yang bertanya, Indonesia tidak semajmuk Malaysia.
Benarkah, rakyat Indonesia berbangsa Cina, jauh lebih besar daripada bangsa Cina Malaysia? Begitu juga memajmukan agama-agama di situ. Majoriti beragama Islam, diikuti Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.
Berlainan dengan kita, bila sebut kepelbagaian, jawapannya, Melayu, Cina, India.
Bila ada anugerah atau apa-apa majlis atau integrasi, mesti terpasak dalam benaknya, Melayu, Cina, India.
Tidak pernah terfikir soal jati diri identiti, kemudian baharulah integrasi.
Sebelum ini, saya minta supaya belajar daripada Brunei, bagaimana identiti Melayu Islam Beraja (MIB) diperkasakan sebagai pasak negara itu.
Pergilah ke mana, bangsa mana yang menjadi majoriti, pasak majoriti itulah yang menjadi jati diri dan identiti negara.
Malangnya, kita terus dengan unity in diversity, Malaysia truly Asia. Indonesia dan Brunei tidak sebut semua itu, kerana mereka sememang truly Asia.
Amat malang sama sekali, setelah lebih 64 tahun kita masih terkial-kial dalam mencari jati diri dan identiti.
Dalam kata lain, meskipun, isteri ketua negara Indonesia,tidak bertudung, tetapi jati diri negara amat mantap.
Benarkah kata-kata, jati diri terletak dihati bukan hanya pada penampilan diri. Inilah kejayaan negara lain dalam memperkasakan jati diri.
Jika begini sikap kita, saya yakin kita akan ketinggalan berbanding Indonesia. Tanda-tanda ketinggalan itu sudah lama ada. Indonesia sudah mula meninggalkan kita.
Ternyata pemikiran dan cara mereka merancang bandar jauh ke hadapan. Mengambil kira perubahan iklim bakal dihadapi
Menurut laporan itu juga, langkah itu juga dibuat susulan keadaan di Jakarta yang semakin sesak, selain bagi membangunkan Kalimantan serta bahagian timur Indonesia, memandangkan kebanyakan aktiviti ekonomi di negara itu hanya berpusat di Jawa di lokasi yang mana Jakarta berada sekarang ini.
Projek pembinaan Nusantara dengan modal bernilai 466 trilion rupiah (AS$32 bilion) sepatutnya dimulakan pada 2020, namun pandemik COVID-19 memaksa pihak berkuasa Indonesia untuk menangguhkan projek berkenaan.
Berbanding kita, banjir besar yang melanda baru-baru jelas menunjukkan perancangan bandar kita masih ketinggalan, tidak mengambil kira perubahan iklim. Rasuah masih bermaharajalela. Akhirnya, apa sudah jadi?
Sebab itu saya amat bersetuju supaya disegerakan penubuhan jawatan kuasa perubahan iklim. Jika negara Indonesia telah bersedia, kenapa kita masih merangkak?
Pemindahan ibu negaranya ke Kalimantan Timur ini bakal memberikan saingan hebat kepada negara kita Malaysia, jika kita tidak bersedia.
Nasib baiklah Indonesia, saiznya terlalu besar, dengan lebih 15 ribu buah pulau, dengan penduduk berjumlah 250 juta.
Jika Indonesia sebesar Malaysia, bilangan pulau yang boleh yang boleh dikira dengan jari, dengan jumlah penduduk yang 10 kali ganda lebih kecil daripada Indonesia, sudah tentu negara itu sudah jauh lebih maju berbanding kita. Jawab persoalan ini, siapakah yang menjadi bangunan-bangunan megah berdiri di kota raya negara kita? Rakyat Malaysia atau Indonesia?
Persoalannya, kenapa kita masih lagi belum dapat keluar daripada kemelut dalam usaha memajukan negara ini?
Sudah tentu antara penghalang terbesar kita dalam mengejar kemajuan adalah sikap kita sendiri. Begitu juga rasuah yang semakin membarah.
Kita seolah-olah ketandusan pemimpin yang mempunyai jati diri dan beridentiti yang mampu membawa rakyatnya untuk sehati sejiwa, sehidup semati membangun agama, bangsa dan negara tercinta. Yang ada, adalah perpecahan yang semakin ketara, dengan watak-watak sikitol dan mandaliar yang semakin menghancurkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan