PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan mengeluarkan pekeliling jelas susulan guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan berpolitik.
Presidennya Adnan Mat berkata, ia penting untuk mengelak salah tafsir masyarakat terhadap penjawat awam dan sekali gus memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan.
“Pekeliling yang jelas mengenai perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, CUEPACS berharap kebenaran berpolitik tidak menjadikan guru, kakitangan KEMAS atau penjawat awam lain diarahkan bekerja untuk politik.
“Walaupun diberikan kebenaran untuk berpolitik, keutamaan yang perlu didahulukan oleh semua penjawat awam adalah tugas hakiki mereka masing-masing terutama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau meluahkan kebimbangan jika kebenaran itu disalah guna atau disalah erti oleh pihak tertentu sehingga menjadikan penjawat awam terutama yang berstatus kontrak menjadi alat politik, diugut atau sebagainya.
“Perkara ini pernah terjadi terutama melibatkan kakitangan KEMAS yang pernah dituduh membantu kerajaan terdahulu sedangkan setiap tugas dilakukan mereka dengan profesional dan penuh tanggungjawab.”
Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat memberikan taraf jawatan tetap kepada kakitangan KEMAS selari dengan kebenaran kerajaan untuk membenarkan mereka berpolitik.
Semalam, kerajaan memaklumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas KEMAS dibenarkan berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan