Isnin, 31 Januari 2022

Tak tahan karenah Anwar, DAP dan Amanah pertimbang singkir selepas PRN


Gagal mencapai kata sepakat berhubung isu lambang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, DAP dan Parti Amanah sudah tidak tahan lagi dalam melayani karenah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin utama kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) difahamkan sudah meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap beberapa keputusan Ketua Pembangkang tersebut, ia bermula sejak pendedahan klip audio dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehinggalah meleret ke PRN Melaka tempoh hari.

Semasa kemelut politik tahun lalu yang menyaksikan UMNO kembali menjadi dominan di Putrajaya, Anwar juga terlibat secara langsung dalam kemelut tersebut dan menipu pemimpin DAP dan Amanah kononnya sudah memiliki majoriti untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila parti anak muridnya, Zahid pula menjadi kerajaan pusat dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi PM.

Anwar yang pada mulanya yakin Zahid akan membawa beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO menyokongnya sebagai PM sebaliknya ditipu hidup-hidup, lebih menarik lagi Anwar juga sanggup menipu DAP dan Amanah bagi menjayakan misi anak muridnya tersebut.

Namun, DAP dan Amanah masih bersabar dengan Anwar ketika itu sehinggalah kemudiaannya sekali lagi mengikut percaturan politik yang juga disusun Anwar dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Ismail Sabri.

Anwar begitu bangga semasa menandatangani MoU tersebut kerana mendapat manfaat daripada perjanjian tersebut selepas dinaikkan keistimewaan setaraf dengan Menteri walaupun hanya sekadar Ketua Pembangkang.

Selain itu, Ahli Parlimen PH juga mendapat manfaat apabila menerima peruntukan yang lebih banyak daripada kerajaan berbanding Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang yang tidak menyokong MoU tersebut.

Langkah Anwar itu hanya menguntungkan PH untuk masa pendek, bagi jangka masa panjang orang ramai sudah semakin hilang kepercayaan terhadap PH dan mula menunjukkan protes terhadap gabungan tersebut.

Sehinggalah terpaksa diadakan PRN Melaka tempoh hari, terbukti rakyat mula menolak PH sehingga menyaksikan PH khususnya PKR dan Amanah tewas teruk ke tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pencapaian teruk PH dalam PRN Melaka juga sebenarnya berpunca daripada Anwar sebagai pencatur utama, ia bermula dengan episod rundingan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sehingga membuat keputusan meletak dua bekas pemimpin UMNO bertanding atas tiket PKR.

Anwar tidak langsung mengendahkan bantahan DAP ketika itu, masih berkeras untuk meletak bekas ADUN UMNO sebagai calon PH ketika itu.

Hasilnya, PKR tewas semua kerusi yang ditandinginya dalam PRN Melaka dan semuanya berpunca daripada kebijaksanaan Anwar. Namun, Anwar tetap adalah Anwar yang terlalu taksub pentingkan diri dan mahu semua orang mengikut cakapnya.

Semasa berunding dengan Zahid sebelum ini, Anwar juga membawa karekter yang sama cuba menonjolkan imej dominan kononnya mengawal Zahid, namun sebaliknya berlaku apabila dirinya pula dimanipulasi dan diperbodohkan Presiden UMNO tersebut.

Menjelang PRN Johor, Anwar sekali lagi mengulangi sikapnya yang tidak boleh bertoleransi dan mahu menjadi dominan, lihat sahaja dalam isu lambang apabila PKR dengan angkuhnya membuat keputusan tidak mahu menggunakan lambang rasmi PH.

Menurut sumber, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sudah mengeluh dengan tindak-tanduk Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH minggu lalu, difahamkan Anwar langsung tidak mengambil kira pandangan DAP dan Amanah.

Guan Eng juga sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu diterangkan kepada Anwar dan PKR berhubung keputusan penggunaan lambang rasmi PH. Namun, Anwar masih berkeras dengan berpendapat lambang PKR lebih hebat berbanding lambang PH itu sendiri.

Berbeza sama sekali ketika era PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, banyak keputusan bersama dibuat secara muafakat dan persefahaman antara satu sama lain. Tapi berbeza semasa era Anwar mengetuai pembangkang, banyak keputusan gagal dicapai secara bersama kerana sikap terlalu mementingkan diri dan tamak kuasa.

“Mungkin selepas PRN Johor satu keputusan besar bakal dibuat DAP dan Amanah, ia berhubung status Anwar sebagai Ketua Pembangkang,” kata sumber.

Susulan tindak-tanduk Anwar yang keras kepala dan tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber, DAP dan Amanah mungkin menimbang untuk mencari calon lain bagi jawatan Ketua Pembangkang tersebut.

Berkemungkinan calon yang sedang dalam kepala DAP dan Amanah kini seorang sahaja iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Anwar mungkin menyedari perkara tersebut, jadi pada masa sama PKR juga perlu mencari alternatif dan pilihan untuk bekerjasama dengan parti lain. Adakah Anwar akan kembali ke pangkuan anak muridnya kembali selepas ini bagi menyelamatkan karier politik?

Tiada ulasan: