Isnin, 31 Januari 2022

Keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset negara – Azmin Ali

 MALAYSIA POST

Keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset negara – Azmin Ali

SAMBUTAN pelbagai perayaan di Malaysia membuktikan keunikan negara dan aset paling penting kepada tanah air, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata keutuhan perpaduan cukup penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Sempena Sambutan Tahun Baru Cina ini, saya menegaskan betapa keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset kepada tanah air kita.

“Justeru, saya mengajak seluruh warga untuk bersatu sebagai sebuah keluarga besar, yakni keluarga Malaysia untuk masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjadi warga yang bertanggungjawab ketika meraikan Tahun Baru Cina dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan pandemik Covid-19 belum berakhir.

“Setiap daripada kita harus menjadi warga yang bertanggungjawab. Raikanlah Tahun Baru Cina dengan mematuhi SOP dan pelaksanaan norma baru.

“Pastikan diri dan keluarga kita terhindar daripada penularan Covid-19,” pesannya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: