Sabtu, 29 Januari 2022

Kerugian banjir dianggarkan sebanyak RM6.1 bilion, kata laporan kerajaan

Reuters

Selangor merekodkan separuh daripada jumlah kerugian di seluruh negara.

Jumlah kerugian banjir besar yang melanda Malaysia beberapa mingu lalu dianggarkan sebanyak
RM6.1 bilion (AS$1.46 bilion) secara keseluruhannya, kata laporan kerajaan hari ini.

Puluhan mangsa terkorban manakala lebih 120,000 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir besar melanda beberapa buah negeri pada pertengahan Disember dan awal Januari lalu.

Dalam laporan khas mengenai kesan banjir tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kerosakan aset dan infrastruktur awam akibat banjir itu telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2 bilion.

Ia disusuli kerugian akibat kerosakan rumah mangsa sebanyak RM1.6 bilion.

Selain itu, sektor perkilangan pula direkodkan mengalami kerugian sebanyak RM900 juta, di mana kebanyakannya dicatatkan di kawasan Selangor yang merupakan negeri paling kaya dan mempunyai populasi penduduk paling padat.

Selangor juga menjadi negeri paling teruk terjejas berbanding negeri-negeri lain, di mana kerugian dialaminya menyumbang separuh daripada anggaran jumlah kerugian di seluruh Malaysia, kata laporan itu.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan kerosakan teruk dialami pemilik kenderaan, selain kerosakan premis perniagaan dan sektor pertanian.

Putrajaya sebelum ini berkata ia akan menyediakan kira-kira RM1.4 bilion (AS$334.37 juta) dalam bentuk bantuan tunai dan bantuan lain kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Tiada ulasan: