Sabtu, 29 Januari 2022

Tiada kenaikan tarif elektrik – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KABINET memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi media sosial beliau sebentar tadi.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan.

“Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” kata Perdana Menteri dalam Twitter beliau.

Sebelum ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memaklumkan kerajaan akan mengumumkan tarif baharu elektrik bagi tahun 2022 hingga 2024.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Kabinet.

Bagaimanapun dengan pengumuman Perdana Menteri, pengguna domestik boleh menarik nafas lega kerana tarif elektrik kekal.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan pengekalan dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu.

Ia akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.

Jelas ST, bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.

Tiada ulasan: