Isnin, 31 Januari 2022

Tiada aduan minyak masak peket naik harga

Oleh Izad Thaqif Hassan
Zalina ketika memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di Econsave Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Zalina ketika memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di Econsave Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan

SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah tidak menerima aduan kenaikan harga minyak masak peket satu kilogram setakat ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Zalina Aziz, berkata harga minyak masak peket ditetapkan RM2.50 sebungkus dan peniaga perlu mematuhinya.

"Peniaga juga tidak dibenarkan meletak syarat pembelian kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak peket satu kilogram," katanya hari ini.

Setakat ini seramai 20 pembekal yang dibenarkan mengedar minyak masak di negeri ini dan kuota itu masih kekal tanpa pemotongan.

Mengulas kekurangan stok bekalan produk itu, beliau berkata, antara faktor dikenal pasti ialah isu pusingan daripada pembekal.

"Sebagai contoh di Kedah ini, pembekal menghantar stok minyak ke kedai runcit seminggu sekali dan disebabkan permintaan tinggi bekalan habis dan perlu tunggu minggu berikutnya.

"Selian itu, kita juga ada menerima maklumat yang peruncit sendiri gagal melunaskan bayaran sehingga ia menjejaskan pembekalan seterusnya daripada pembekal," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 83 kes dikesan membabitkan kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi Negeri Kedah bermula 1 Januari lalu hingga semalam.

Tiada ulasan: