Khamis, 27 Januari 2022

PKR guna lambang sendiri, Anwar buat keputusan ikut kepala sendiri lagi


PKR membuat keputusan untuk menggunakan lambangnya sendiri dan tidak akan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Keputusan untuk menggunakan lambang sendiri itu diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mengikut kepalanya sendiri sekali lagi, bagaimanapun DAP dan Amanah kekal menggunakan lambang PH tidak akan mengikut langkah PKR tersebut.

“Berhubung dengan logo, kita bersetuju PH atau logo yang dipilih oleh parti, kita dah umum tadi kedua-dua (logo) PH untuk calon DAP dan Amanah dan PKR (guna) logo PKR,” kata Anwar.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

PH nampaknya gagal mencapai kata sepakat berhubung pemilihan penggunaan lambang pada PRN Johor, mengulangi episod sama yang berlaku di Melaka sebelum ini.

Semasa PRN Melaka November lalu, PKR mendesak semua parti PH menggunakan logonya tetapi mengalah selepas Amanah dan DAP berkeras untuk menggunakan lambang gabungan mereka.

PKR mengambil pendirian yang sama dalam PRN Johor akan datang dan nampaknya parti komponen PH tidak dapat memecahkan kebuntuan kali ini.

Anwar mendedahkan bahawa PH juga sudah menyelesaikan rundingan kerusi antara tiga komponen parti yang akan bertanding dalam PRN Johor.

Tambahnya, rundingan lanjut akan diperlukan untuk parti pembangkang yang berada luar PH.

“PH sudah selesaikan kesemua 56 kerusi. Kemudian kita boleh berbincang dengan parti pembangkang lain,” katanya.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Minggu lalu, Hasni memberi jaminan sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu sekiranya PRN diadakan di negeri itu dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh berkenaan.

Tiada ulasan: