Ahad, 30 Januari 2022

Ismail Sabri keberatan bubar Parlimen adakan PRU, tapi sokong pula PRN Johor


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan kestabilan politik perlu diutamakan pada masa ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, ia memberi isyarat keberatan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.

Ismail Sabri tidak mahu melihat sekali lagi berlaku kemelut politik walaupun UMNO juga yang menjadi punca kepada krisis politik di Melaka dan terbaharu di Johor pula dengan mengambil langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kenyataan tersebut dilihat tidak serupa bikin apabila mahukan kestabilan politik tetapi pada masa sama UMNO berterusan menyusahkan rakyat dengan mengadakan PRN pada ketika rakyat sedang berdepan kesempitan hidup akibat Covid-19 dan bencana banjir besar baru-baru ini.

Kestabilan politik itu, menurut Ismail Sabri juga penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat dalam situasi sukar akibat pandemik Covid-19.

“Jika ada yang menarik sokongan, betul kerajaan akan tumbang. Itu adalah fakta. Kalau Perikatan Nasional (PN) malah sesiapa juga termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dalam kalangan UMNO sendiri menarik sokongan akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana kita hanya ada kelebihan empat kerusi.

“Tapi saya percaya kestabilan politik yang penting. Jika timbul perkara seperti ini, politik kita kembali bergolak dan ekonomi juga akan terjejas akibat tindakan itu,” katanya lapor Bernama.

Ismail Sabri terdahulu menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Monsun Timur Laut 2021/2022 sebanyak RM2,500 kepada setiap 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan media berkata bahawa sokongan parti itu bersama PAS terhadap kerajaan adalah bersyarat.

PAS dan Bersatu hari ini mengingatkan kerajaan bahawa sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob bukanlah dibuat dengan begitu saja, sebaliknya bersyarat.

Menurut Muhyiddi, sokongan yang diberikan – sehingga memungkinkan Umno dan naib presidennya itu menjadi kerajaan – tertakluk kepada syarat tertentu.

“Mempertegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat perlu dihormati dan dirundingi atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan,” katanya awal hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berpandangan perkara itu perlu ditentukan oleh parti dan tidak menolak kemungkinan presiden parti-parti terlibat untuk duduk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.

Tiada ulasan: