KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 jemaah umrah yang terkandas susulan penutupan sementara selama sebulan Januari lalu, dijadual berlepas ke Tanah Suci pada hari pertama pembukaan semula, 8 Februari depan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pihak pengendali umrah sudah melakukan semua persiapan, walaupun sehingga kini prosedur operasi standard (SOP) baharu belum dimuktamadkan.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan SOP masih belum dimuktamadkan, walaupun kerajaan sudah umumkan pembukaan semula umrah 8 Februari ini.
"MOTAC memaklumkan sedang mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan (memuktamadkan SOP) segera.
"Kami di pihak pengendali, berpegang kepada pengumuman MOTAC mengenai pembukaan semula umrah 8 Februari ini dan jemaah juga maklum mengenainya. Kami agak agak bimbang jika pada saat akhir ia dibatalkan," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, dalam satu kenyataan berkata, SOP baharu perjalanan umrah sudah diperhalusi kementerian itu bersama KKM serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan.
Razali berkata, pihaknya kecewa kerana sehingga kini SOP baharu masih belum dimuktamadkan, sekali gus menyukarkan pihak agensi memulakan operasi mengikut ketetapan baharu kerajaan.
"Dalam keadaan sekarang dengan SOP belum ada, kami tidak ada pilihan selain meneruskan sahaja persiapan umrah untuk 1,000 jemaah yang akan terbang 8 Februari ini kerana semua urusan sudah disiapkan, termasuk pengeluaran visa.
"Saya lihat seakan tidak ada koordinasi antara KKM dan MOTAC menyebabkan perkara ini masih belum selesai.
"Malah, ketika sesi libat urus pada Rabu minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan umrah dibuka 15 Februari tetapi kemudian MOTAC umum lebih awal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan