Jumaat, 28 Januari 2022

Pemandu Perdana tular dicekup

 Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki yang bertindak ala samseng di Setia Alam.

SHAH ALAM – Pemandu Proton Perdana yang tular berlagak samseng dengan menghalang sebuah kenderaan di Setia Alam di sini, Ahad lalu diberkas polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di balai polis sekitar daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa diugut berkaitan kejadian itu.

Katanya, pengadu itu mendakwa menerima ugutan melalui mesej suara daripada pemilik akaun Facebook (FB) bernama ‘Koi Airil Ossai’.

“Individu itu memberitahu pengadu supaya tidak perlu menularkan video berkenaan dan meminta supaya memadamkannya.

“Selain itu, pengadu diminta membuat laporan polis sekiranya berasa tidak selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Baharudin, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita turut masih mengesan pemilik akaun FB Koi Airil Ossai itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan tular sebuah klip video seorang lelaki bersongkok bertindak ala samseng menghalang sebuah kenderaan lain di Setia Alam, baru-baru ini. -K!ONLINE

Tiada ulasan: