SATU laporan polis dibuat terhadap tiga portal tempatan selepas didapati mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, ketiga-tiga portal tersebut mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dengan niat mencemarkan imej Perdana Menteri.
“Ketiga-tiga portal ini dengan sengaja dan tidak beretika membuat laporan yang salah dengan niat jahat dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri serta menyebarkan kenyataan palsu dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.
“Artikel fitnah itu bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, rayu jangan tarik sokongan’ yang disiarkan pada 30 Januari 2022 dan diulang siar dengan tajuk ‘Ismail Sabri rayu jangan tarik sokongan bimbang jadi PM paling singkat’.
“Ia juga disiarkan oleh sebuah lagi portal pada tarikh sama dan menggunakan tajuk sama,” katanya ketika ditemui di selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.
Mohamad Anuar menegaskan, laporan yang dikeluarkan tiga portal tersebut adalah manipulasi daripada kenyataan sebenar Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis di Bera pada 29 Januari 2022.
Tambahnya lagi, tiada kelibat ketiga-tiga portal terbabit dalam sidang media majlis tersebut.
“Laporan ini dibuat supaya polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga portal tersebut yang mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan