Khamis, 27 Januari 2022

Warga Lembah Klang boleh dapatkan dos penggalak secara walk-in

Sebahagian daripada orang ramai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid 19, Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BAGI meningkatkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19, sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang akan menawarkan perkhidmatan vaksinasi secara secara walk-in atau jumpa terus.

Penawaran perkhidmatan tanpa temu janji kepada penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas itu akan bermula esok di PPV World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam dan PPV Dewan Soka Gakkai, Klang.

Menurut Kementerian Kesihatan, langkah ini bertujuan mempertingkatkan kadar pengambilan dos penggalak selain memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

“Vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca.

“Namun begitu, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, daripada 4,744 kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini, sebanyak 1,318 kes adalah di Selangor.

Kuala Lumpur pula mencatatkan 380 jangkitan baharu hari ini.

Sementara itu, jelas KKM, individu yang ingin hadir secara jumpa terus perlu memastikan sijil vaksinasi digital di dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi.

Sehingga 25 Januari, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Liputan vaksinasi dos penggalak bagi penduduk dewasa di Lembah Klang adalah 68.2 peratus, selepas Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus.

Tiada ulasan: