Ahad, 30 Januari 2022

Kelantan adalah ‘paru-paru’ negara

MOHAMAD KAMAL MOHAMED

51 peratus keluasan negeri adalah hutan hijau

SEBETULNYA, keghairahan sebahagian musuh politik Kerajaan Merakyat Membangun Islam Kelantan membawakan naratif pembalakan dengan gambar penggondolan bukit yang tidak nyatakan lokasi spesifik bagi memberikan gambaran negatif terhadap kerajaan adalah bahan kitar semula penuh klise bagi menyambut PRU yang bakal tiba.

Terbaru naratif yang dibawa adalah mengusik pencinta alam flora dan fauna dengan metafora emosi hidupan liar yang berdepan pembalakan. Pelbagai sudut emosi diketengahkan bagi menimbulkan spekulasi negatif terhadap kerajaan.

Hakikatnya, data dan laporan yang sebenar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menafikan rekaan yang dibuat oleh pihak berkepentingan. Negeri Kelantan masih mengekalkan sebahagian besar keluasan negeri iaitu sebanyak 51 peratus sebagai hutan hijau dan merupakan penyumbang terbesar kepada kelestarian hijau negara.

Keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) negeri masih tertinggi selepas Pahang dan Perak. HSK negeri Kelantan juga meningkat daripada 613,275.43 hektar pada tahun 2017 kepada 629,880.95 hektar pada tahun 2021 dengan keluasan hutan pengeluaran iaitu hutan yang boleh dibalak masih sama bagi tempoh 4 tahun tersebut (2017 – 2021). Ini bermaksud tiada pertambahan hutan untuk pembalakan dibenarkan atau diluluskan.

Jika dilihat kepada pengeluaran hasil hutan Kelantan, ia dikira berdasarkan peruntukan kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk pengeluaran secara tebangan memilih dan data yang dibentangkan menunjukkan Kelantan tidak pernah melebihi kadar yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN).

Malah sebagai contoh kuota CTT negeri adalah berkurangan bagi RMK 11 iaitu seluas 27,085 hektar, manakala RMK 12 hanyalah sejumlah 19,500 hektar. Begitu juga sekiranya dilihat kepada pendapatan negeri, pembalakan bukanlah sumber utama hasil negeri dengan sumbangan 10 peratus sahaja daripada keseluruhan hasil.

Justeru, data-data yang dibentangkan ini adalah rasmi dan menyangkal sama sekali dakwaan tidak berasas pihak-pihak berdendam terhadap kerajaan Kelantan. Hakikatnya, Kelantan masih lagi hijau, dan penyumbang terbesar oksigen kepada negara.

Sayugia Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyeru agar semua pihak boleh memberikan keadilan kepada pihak kerajaan dalam Isu pembalakan. Sumbangan Kelantan dalam kelestarian hijau negara membuktikan ketelusan dan urus tadbir yang berintegriti dalam pengurusan hutan, memelihara dan memulihara bumi hijau.

Tinggal lagi kita juga bersetuju dan mahu memberikan penekanan terhadap penguatkuasaan yang ketat dengan hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap pembalakan haram. Di mana-mana tempat atau pada setiap situasi, mereka yang mengambil peluang walau secara haram akan terus wujud dan pihak bertanggungjawab perlu secara agresif membanteras salah laku ini ke akar umbi. 

Peranan rakyat di kawasan berdekatan hutan simpan termasuk orang asli juga seharusnya dijadikan sebagai ‘prima facie’ dalam pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap pembalakan haram. Jadikan rakyat sebagai mata telinga kerajaan dalam membanteras pembalakan haram atas nama Kelantan sebagai malar hijau negara.

(*) MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: