Ahad, 30 Januari 2022

45 lokasi kemalangan maut di Johor

BH ONLINE
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada pelancaran Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada pelancaran Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Polis mengenal pasti 45 kawasan hitam di negeri itu, yang sering menjadi lokasi kemalangan maut terutama ketika musim perayaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata lokasi itu membabitkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya menugaskan 25 pegawai dan 215 anggota sepanjang Op Selamat 17, bermula Jumaat lalu hingga 6 Februari, bagi mengurangkan kemalangan jalan raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, Op Selamat 17 memfokuskan dua objektif utama iaitu rumah selamat, perjalanan selamat, yang bermaksud mencegah jenayah pecah rumah dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Pengguna jalan raya perlu patuhi panduan yang diberikan pakar keselamatan jalan raya, sebagai contoh, apabila mengantuk perlu berhenti, selain menjaga jarak dengan kenderaan lain dan elak mengikut rapat kenderaan lain.

"Kalau kenderaan berhenti atau rosak di lebuh raya, sila keluar dari kenderaan dan minta bantuan daripada pihak yang berkaitan seperti anggota peronda Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas, di sini, hari ini.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung pada musim perayaan bagi membolehkan polis mengawasi kediaman mereka.

Borang maklumat balik kampung boleh diperoleh di balai polis berhampiran atau dimuat turun menerusi portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Mereka juga boleh memaklumkan pergerakan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), selain menghubungi Hotline 999 bagi membolehkan pihak PDRM bersama komuniti memantau rumah yang ditinggalkan," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: