Jumaat, 28 Januari 2022

GST lebih baik untuk tangani hutang isi rumah yang tinggi, kata pakar ekonomi

Pelaksanaan GST berlapis akan meringankan beban golongan berpendapatan 
rendah, kata ahli ekonomi Carmelo Ferlito. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan dengan baik boleh menghalang perbelanjaan tidak perlu yang membawa kepada hutang, kata seorang ahli ekonomi.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, beliau menyokong GST diperkenalkan semula sebagai sebahagian daripada reformasi cukai yang lebih holistik untuk membantu menangani hutang isi rumah yang tinggi.

“GST adalah cukai penggunaan. Oleh itu, ia cenderung tidak menggalakkan penggunaan dan mendorong penjimatan,” katanya

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini bahawa terdapat kemungkinan GST dikembalikan disebabkan kelemahan dalam sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada.

Carmelo Ferlito.

Ferlito berkata, jika pengguna terpaksa membayar cukai ke atas harga asas bagi barangan dan perkhidmatan, mereka akan lebih prihatin mengenai tabiat berbelanja mereka.

“Ini penting memandangkan Malaysia adalah negara yang mempunyai nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Asia,” katanya.

Nisbah hutang kepada KDNK digunakan untuk menentukan kesihatan ekonomi sesebuah negara. Semakin tinggi nisbahnya, semakin besar hutang sesebuah negara berbanding dengan jumlah keluaran ekonominya.

Hutang isi rumah Malaysia kepada KDNK berada pada kadar 89.6%.

Untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, Ferlito mencadangkan pelaksanaan GST secara berlapis.

“Sebagai contoh, 0% untuk barangan asas seperti beras, 3% untuk barangan biasa dan 6% untuk barangan mewah,” katanya.

Tambahnya, golongan berpendapatan rendah boleh mengurus kewangan mereka dengan lebih baik jika mereka tidak perlu membayar cukai untuk keperluan asas harian.

Tengku Zafrul sebelum ini menyatakan bahawa banyak ketirisan berlaku selepas sistem SST diperkenalkan pada 2018 sekali gus menyukarkan usaha kerajaan untuk mengesan mereka yang cuba mengelak cukai.

Mengulas isu sama, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, GST akan membolehkan pemantauan dan pencegahan pengelakan cukai yang lebih baik.

“Terbukti apabila kita ada GST, kita ada rekod yang baik mengenai sektor swasta dan keseluruhan aktiviti sektor runcit.

“Kita dapat memantau prestasi sektor tersebut serta menentukan sama ada cukai dibayar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, jika GST tidak dikembalikan, SST perlu disusun semula secara berperingkat.

Terdapat gesaan daripada ahli ekonomi dan ahli politik tertentu supaya kerajaan memperkenalkan semula GST di tengah-tengah kebimbangan bahawa nisbah hutang kepada KDNK Malaysia akan meningkat tanpa aliran masuk yang stabil dan aliran keluar perbelanjaan kerajaan yang tinggi.

GST 6% diperkenalkan pada 2015 tetapi dimansuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan digantikan dengan sistem SST pada 2018

Tiada ulasan: