Jumaat, 28 Januari 2022

40 rumah rosak akibat ribut, hujan batu di Shah Alam

BERNAMA

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

Kira-Kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22, Shah Alam rosak akibat hujan lebat dan ribut yang disertai hujan batu di kawasan itu petang semalam.

Pemangku Ketua Kampung Batu 3 Mohd Syafiq Ali Bajunid Omar berkata hujan lebat, yang bermula pada 5.30 petang, turut disertai pusaran angin kecil yang mengakibatkan berpuluh-puluh bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ Batu Tiga untuk kemudahan penduduk yang terkesan akibat ribut petang tadi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PPS itu, yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir dari kampung sama, baru sahaja ditutup pada awal bulan ini.

Tinjauan Bernama malam ini mendapati kawasan sekitar kampung itu masih bergelap kerana terputus bekalan elektrik sejak petang tadi selepas beberapa tiang elektrik tumbang akibat kejadian ribut berkenaan.

Seorang suri rumah, Norhaslinda Nayan, 43, berkata kejadian ribut seperti itu adalah yang pertama dialaminya sejak lebih 20 tahun menetap di situ.

“Ribut yang melanda tidak begitu lama namun cukup menggerunkan seperti ada puting beliung di atas bumbung dan bunyi hujan di luar seolah-seolah hujan batu kerana terlalu kuat,” katanya.

Beliau berkata kediamannya yang baru sahaja dicuci susulan banjir pada akhir tahun lepas sekali lagi terpaksa dibersihkan kerana ribut turut merosakkan bahagian bumbung sehingga menyebabkan seluruh bahagian dalam rumah basah.

“Ketika banjir baru-baru ini, air naik sehingga paras siling rumah, saya baru sahaja balik dari PPS awal bulan ini namun tidak sampai beberapa hari, sekali lagi kami diduga dengan ribut seperti ini,” katanya.

Norhaslinda berkata beliau tidak berpindah ke PPS malam tadi kerana suaminya telah memasang kepingan aluminium di bahagian bumbung rumah mereka yang terjejas.

Tiada ulasan: