Ahad, 30 Januari 2022

Macau Scam menyamar sebagai wakil LHDN, guru rugi RM22,160 wang lesap


Seorang guru sebuah sekolah menengah di Teluk Intan kerugian RM22,160 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dan pihak berkuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata guru lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada kira-kira 10 pagi dengan menyatakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendakwa guru tersebut mempunyai tunggakan bayaran cukai, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata guru tersebut menafikan dirinya mempunyai tunggakan bayaran cukai lalu panggilan tersebut disambungkan ke ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu’ untuk membuat laporan polis dan kemudian disambungkan kepada pihak mahkamah kononnya guru itu terlibat dengan pengubahan wang haram.

“Pengadu (guru) kemudian menyerahkan butiran perbankannya iaitu ID bersama kata laluan perbankan dalam talian atas akaun Bank Islam Malaysia Berhad miliknya kepada pihak sindiket dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan pihak mahkamah.

“Pengadu telah menyerahkan segala butiran maklumat akaun Bank Islam berkenaan kepada suspek wanita yang dikenali dengan panggilan Jasmine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata guru itu hanya menyedari ditipu setelah mendapati wang simpanan dalam akaun banknya dipindahkan secara berperingkat melalui dua transaksi berjumlah RM22,160.

“Pengadu yang telah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun terus membuat laporan polis petang semalam,” katanya dengan menambah kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tiada ulasan: