Isnin, 31 Januari 2022

PRN Johor: SPR ada kuasa wujudkan undi pos untuk warga Johor yang kerja di Singapura

Astro Awani
PRN Johor: SPR ada kuasa wujudkan undi pos untuk warga Johor yang kerja di Singapura
SPR digesa wujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). - Gambar fail BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menambah satu lagi kategori Pengundi Tidak Hadir dengan menyediakan ruang untuk pengundian secara pos buat rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
 
Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, SPR ada kuasa untuk melakukan perkara sedemikian seperti yang dilakukan pada 2017 apabila membenarkan petugas media dan kesihatan untuk mengundi pos.
 
Menurutnya, jika dinilai situasi pada 2017 dan sekarang, keadaan pada waktu kini dilihat lebih mendesak kerana negara berhadapan dengan krisis kesihatan dan keselamatan.
 
“Kalau lihat senario pada 2017 dan sekarang, kini lebih terdesak kerana krisis kesihatan dan keselamatan…kita boleh sediakan. SPR boleh ada kuasa untuk tambah kategori, bermaksud kategori pekerja di Singapura.
 
“Di luar Singapura pun boleh. Mungkin boleh sediakan peluang mereka untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai seorang pengundi yang layak. Ia sangat penting kerana baru-baru ini, SPR telah kuat kuasakan undi automatik.
 
“Bermakna, saya rasa semua pekerja yang tidak pernah daftar sebelum ini pun, yang bekerja di Singapura, semua sudah layak jadi pengundi. Memang ada keperluan khusus ke arah itu (sediakan undi pos),” katanya ketika bersiaran langsung di Buletin AWANI pada Ahad.
 
Tambah beliau, usaha sebegitu perlu dilakukan memandankan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan SPR mewujudkan pusat mengundi di negara lain.
 
Dalam pada itu, Manimaran mencadangkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya.
 
Bahkan, beliau turut mencadangkan pejabat pesuruhjaya dijadikan tempat mengundi dan pengumpulan undi buat rakyat Johor mengundi calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
 
Astro AWANI sebelum ini melaporkan SPR perlu mewujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
 
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
 
Beliau melihat inisiatif berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang mengundi akibat pandemik COVID-19 menunaikan tanggungjawab mereka.

Tiada ulasan: