Ahad, 23 Januari 2022

SPRM ‘balas dendam’ dakwa anak saudara saya, kata Sivarasa

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa berkata tindakan SPRM lebih bersifat 
dendam peribadi dan bertujuan untuk memburukkan imej pusat khidmatnya.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendakwa pertuduhan rasuah ke atas ahli keluarganya sebagai tindakan balas dendam susulan kelantangannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Sivarasa adalah Ahli Parlimen pertama membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Parlimen dan sejak itu, ia membawa kepada pelbagai siasatan selain kecaman orang ramai.

Dalam kenyataan hari ini, Sivarasa berkata, anak saudaranya Naveen K Rasiah yang bertugas sebagai Pengurus Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh dipanggil ke pejabat SPRM, Jumaat lalu dan memberitahu dia akan didakwa atas kesalahan berkaitan kejadian berlaku pada 2017.

“Pada Ogos 2017, saya secara terbuka membangkitkan pada Jabatan Imigresen mengenai isu bagaimana seorang ahli perniagaan Bangladesh bernama Monomiah Siddikur Rahman secara rasuah boleh mendapatkan permit pekerja Bangladesh sebagai tukang cuci dan kakitangan di hotel dengan menggunakan dokumen palsu dan meminta Ketua Pengarah Imigresen menyiasat dan mengambil tindakan.

MP Sivarasa Rasiah.

“Namun, pada 21 Sept 2017, tiga kakitangan pusat khidmat saya, Naveen, Joshua Kalaisevan dan Nico Kam, ditangkap oleh SPRM, direman empat hari dan disiasat atas dakwaan kesalahan cuba meminta wang daripada Monomiah sebagai balasan untuk menggugurkan isu,” katanya.

Beliau berkata, selepas dibebaskan, tiada pertuduhan dikenakan terhadap ketiga-tiga mereka.

“Saya yakin jika terdapat bukti salah laku di pihak Naveen atau pihak lain, SPRM akan mendakwa mereka serta-merta.

“Kini, sebulan selepas saya membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Parlimen pada 14 Dis lalu, tiba-tiba dakwaan tidak berasas dibangkitkan semula oleh SPRM untuk mendakwa kakitangan saya.

“Tindakan SPRM ini lebih bersifat dendam peribadi dan bertujuan untuk memburukkan imej pusat khidmat saya.”

Sivarasa mempertahankan Naveen dan menyifatkan dakwaan itu “palsu dan tidak logik sama sekali”, kerana beliau mahupun yang lain dipersoalkan oleh SPRM pada 2017 tidak mempunyai kuasa untuk menentukan apa boleh dilakukan oleh Ketua Pengarah Imigresen untuk menangani isu dibangkitkan.

“Tindakan oleh SPRM ini hanya akan merosakkan reputasinya kerana ia didorong oleh faktor peribadi dan motif tersembunyi.

“Jika SPRM fikir ini akan membuatkan saya atau rakan di Parlimen berundur dalam isu ini, mereka silap sama sekali.” katanya.

Tiada ulasan: