Ahad, 30 Januari 2022

Nahas treler rempuh 8 kenderaan, Lebuh Raya KL-Karak sesak teruk

Kemalangan sembilan kenderaan yang dipercayai berpunca daripada treler yang hilang kawalan di Kilometer 40 Lebuh Raya KL-Karak pagi tadi./ Gambar FB Polis Bentong

KEMALANGAN membabitkan treler dan lapan kenderaan lain di Kilometer 40, Lebuh Raya Karak pagi ini menyebabkan kesesakan teruk selama beberapa jam di laluan berkenaan.

Kejadian yang berlaku ketika warga kota rancak memulakan perjalanan pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur sempena cuti Tahun Baharu Cina itu turut tular apabila ramai mengeluh terperangkap dalam kesesakan dari sebelum Plaza Tol Gombak lagi.

Nahas pada jam 9.30 pagi tadi itu dipercayai berlaku selepas sebuah treler jenis Volvo, dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan gagal dikawal.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata susulan itu, beberapa kenderaan dirempuh lori berkenaan yang dpandu lelaki berusia 40-an..

“Pemandu lori mengalami kecederaan ringan pada lengan kanan dan dahi manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV), jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, lima kereta Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios dan Proton Saga; sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih 12 bulan.

“Susulan kejadian ini pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

“Saya juga mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membawa kenderaan yang dipandu selain memastikan kenderaan yang dibawa sentiasa berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: