Jumaat, 28 Januari 2022

Bekas pengetua tahfiz mengaku tak salah 15 tuduhan amang seksual 5 pelajar

Pendakwaan terhadap Azizul Yahya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 
14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. 
(Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Bekas pengetua maahad tahfiz di Batu Gajah, Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki, tahun lalu.

Tertuduh, Azizul Yahya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Memetik Kosmo, berdasarkan pertuduhan pertama hingga 14, Azizul yang belum berkahwin didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun dengan cara menghisap dan menyentuh kemaluan, melakukan onani serta mencium bibir.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dari bulan Feb hingga Okt 2021 di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah, Perak.

Pendakwaan terhadap Azizul itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Azizul juga didakwa atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang mangsa dengan menunjukkan video lucah pada pukul 7.30 pagi, 18 Oktober 2021 di lokasi sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Terdahulu, Afiqa Liyana memohon tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius yang dilakukannya.

Tiada ulasan: