Rabu, 12 Januari 2022

Pasukan Bencana Istana Negara terus bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Pasukan Bencana Istana Negara hari ini meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan menyumbang barangan keperluan dan wang tunai kepada 41 keluarga di Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya memaklumkan, misi bantuan itu turut membabitkan penyertaan sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers) yang bermula dari 10 pagi hingga 6 petang.

Misi bantuan diketuai Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Seri Paduka Baginda, Brig Jen Datuk Zahari Yahya.

Ia turut disertai Juruiring Tentera Darat, Brig Jen Datuk Sharizan Wan Chik dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan Yayasan TM, Nuraini Ishak.

"Sukarelawan Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers menempuh perjalanan selama 30 minit menaiki bot dari jeti Kuala Tahan ke Kampung Yong dan Kampung Atok," menurut kenyataan itu.

Kerjasama antara Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers adalah atas perkenan dan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Tiada ulasan: