Rabu, 12 Januari 2022

Teknologi 'Blockchain' halang pendua sijil vaksinasi

BH ONLINE

LIHAT VIDEO DI SINI

KUALA LUMPUR: Sijil vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera tidak boleh diduplikasi (mempunyai pendua) kerana ia menggunakan teknologi 'blockchain' yang menjamin ketulenan sijil itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, bagaimanapun berkata, pemalsuan sijil vaksin di Terengganu baru-baru ini, berlaku disebabkan oleh masalah integriti pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, isu sijil vaksinasi palsu hanya berlaku jika pihak yang mengendalikan vaksinasi menyalahgunakan kuasa seperti mengemas kini MySejahtera tanpa memberi suntikan.

"Polis membongkar kegiatan sijil vaksinasi palsu yang dipercayai didalangi doktor klinik swasta," katanya selepas melancarkan Platform E-Skrol Menggunakan Teknologi 'Blockchain' untuk Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia menahan seorang doktor klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Marang, Sabtu lalu.

Dr Adham berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, teknologi terkini 'blockchain' selamat dan melindungi data peribadi masyarakat serta ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 tidak boleh diragui.

Mengenai majlis pelancaran platform e-Skrol, beliau berkata UIAM dengan kerjasama MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh berkongsi kepakaran dalam pembangunan e-Skrol supaya penggunaannya diperluaskan di institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam dan luar negara.

Katanya, sistem yang dibangunkan UIAM itu bukan sahaja dapat membantu menangani masalah pemalsuan skrol yang berleluasa, tetapi juga memudahkan pengesahan skrol graduan UIAM di dalam dan luar negara.

Mengenai penggunaan platform e-Skrol itu, beliau berkata graduan UIAM, majikan dan orang awam yang memerlukan pengesahan skrol ijazah hanya perlu mengakses laman portal yang disediakan bagi mendapatkan pengesahan secara dalam talian.

"Dengan adanya sistem e-Skrol yang menggunakan teknologi 'blockchain' ini, MOSTI percaya keyakinan majikan terhadap graduan dapat dipertingkatkan khususnya bagi pengambilan pekerja di organisasi dan syarikat masing-masing," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: