Rabu, 12 Januari 2022

SSM sumbang RM100,000 untuk usahawan B40

BH ONLINE
 
- Foto hiasan / FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada usahawan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sumbangan diagih kepada 200 penerima dengan setiap usahawan akan memperoleh RM500 seorang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika melancarkan inisiatif itu berkata, sumbangan itu adalah pelengkap kepada peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang pernah disalurkan kepada usahawan asnaf sebelum ini.

"Sebagai agensi kerajaan di bawah KPDNHEP, SSM menyahut seruan kerajaan di bawah konsep kebersamaan dalam Keluarga Malaysia yang menyarankan semua pihak berganding bahu membantu dan menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat.

"Dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021, SSM mengagihkan wakalah zakat korporat sebanyak RM7,521,463," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, antara golongan yang menerima wakalah zakat korporat itu adalah asnaf, fakir, miskin, mualaf, gharimin dan penerima fisabilillah merangkumi masjid, surau, sekolah serta hospital di seluruh negara.

"Bagi pengagihan peruntukan CSR dalam tempoh sama, SSM menyalurkan RM424,309 kepada golongan memerlukan.

"Sumbangan ini diharap dapat memberi kelegaan kepada golongan B40 untuk membina semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: