Rabu, 12 Januari 2022

Harimau: Tangguh dulu masuk hutan

 Oleh AIMUNI TUAN LAH

SIK Choon Foo (dua dari kiri) mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung Orang Asli yang diancam harimau belang di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Lebih 2,000 masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Pos Balar, dekat sini dinasihat menangguhkan aktiviti mereka mencari hasil hutan kerana harimau belang masih berkeliaran di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, demi keselamatan diri dan keluarga, penduduk di dua kawasan penempatan itu diminta berada di rumah masing-masing.

“Sebelum ini kelibat harimau dilihat penduduk kampung di sekitar kawasan hutan dan rumah mereka. Polis berharap komuniti Orang Asli berhati-hati setiap kali mereka keluar rumah.

“Sekiranya tiada keperluan, duduk sahaja di rumah. Jika perlu keluar, bergeraklah secara berkumpulan dan ketika waktu siang sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini hari ini.

Terdahulu, Choon Foo bersama pasukannya mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung bagi memberi nasihat serta panduan supaya mereka lebih berwaspada, susulan ancaman harimau belang ketika ini.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli berkenaan.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jika terserempak dengan hidupan liar atau mempunyai maklumat berkaitan, mereka boleh menghubungi Perhilitan Kelantan di talian 011-59275985 atau 1-800-88-5151 atau e-aduan di www.wildlife.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: