Rabu, 12 Januari 2022

Takut polis, pemuda hilang dalam hutan Tok Bali

Oleh TOREK SULONG

SEORANG pemuda dilaporkan hilang selepas memasuki hutan berhampiran perkampungan nelayan di Tok Bali sejak Isnin lalu. - UTUSAN/TOREK SULONG

PASIR PUTEH: Gara-gara takut melihat polis, seorang pemuda dilaporkan hilang tanpa jejak selepas melarikan diri ke dalam hutan berhampiran perkampungan nelayan di Tok Bali, di sini sejak Isnin lalu.

Difahamkan, Ahmad Zulmukhriz Zakaria, 22, dilihat masuk ke dalam kawasan hutan terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari selepas panik melihat anggota polis membuat rondaan di kampung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Ediansha Endal berkata, selepas masuk ke dalam hutan, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah..

“Bapanya, Zakaria Mustapa, 51, melaporkan anaknya itu keluar rumah untuk membuang sampah, namun tidak pulang hingga sekarang. Laporan tentang kehilangan mangsa itu dibuat di Balai Polis Cherang Ruku, semalam. Susulan itu, gerakan mencari mangsa digerakkan bermula pukul 9.30 pagi ini membabitkan 44 anggota polis, bomba, Rela dan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Turut menyertai operasi pencarian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Sementara itu, Zakaria berkata, anak kedua dari empat beradik itu keluar dari rumah sambil membawa plastik sampah namun tidak pulang-pulang menyebabkan mereka sekeluarga khuatir dia ditimpa musibah.

“Saya membuat laporan kehilangan anak saya itu kerana kerana bimbang keselamatan dirinya, lebih-lebih lagi kawasan hutan yang dia masuk itu diketahui umum sebagai habitat ular berbisa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: