Rabu, 12 Januari 2022

Menyorok lima jam di mahkamah elak dirakam

 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

FATIHAH Azmi menyorok hampir lima jam di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka gara-gara mahu mengelak dirinya dirakam petugas media. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Hanya kerana RM320, seorang bekas penjawat awam bukan sahaja terpaksa membayar denda sebanyak RM4,000, malah sanggup ‘menyorok’ hampir lima jam di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, gara-gara mahu mengelak dirinya dirakam petugas media.

Tertuduh, Fatihah Azmi, 34, diperintah Hakim Elesabet Paya Wan membayar denda tersebut selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM320, lima tahun lalu. 

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh yang merupakan bekas Penolong Pegawai Perpaduan Daerah di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka didapati  menerima suapan sebanyak RM320. 

Suapan itu diterimanya daripada Mohd. Yusri Jaafar yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi. Tindakan itu dilakukan tertuduh pada 5 dan 6 November 2017 masing-masing di Malayan Banking Berhad di Kuala Lumpur dan Maybank Islamic Berhad dalam daerah Melaka Tengah. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman ringan diberikan dengan alasan perlu menjaga empat orang anak yang masih kecil, selain ibu dan bapanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Kalaivani bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut dan dilihat keluar dari mahkamah selepas hampir lima jam hukuman dijatuhkan, sambil diiringi seorang lelaki dipercayai suaminya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: